Monday, September 8, 2008

SEJARAH-GENAP 44 TAHUN YANG LALU

HARI INI DALAM SEJARAH

PERASMIAN BANGUNAN WISMA PAHLAWAN

Tarikh Peristiwa: 08.09.1974


Pada hari ini 8.9.1974, Bangunan Wisma Pahlawan telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.

Bangunan setinggi 14 tingkat yang terletak di sebelah bangunan Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Maharajalela merupakan Ibu Pejabat Persatuan Bekas Perajurit Malaysia. Bangunan yang bernilai RM 4 juta ini dibina hasil dari kutipan derma oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri serta orang ramai.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa bangunan ini merupakan lambang penghargaan rakyat terhadap jasa para perajurit yang telah banyak berkorban dan berjuang untuk negara. Baginda juga melihat dengan adanya bangunan ini kelak akan dapat membantu bekas-bekas tentera setelah mereka menamatkan perkhidmatan.

Seri Paduka juga selaku Panglima Angkatan Tentera Malaysia telah melahirkan rasa bangga dan memberi penghargaan terhadap khidmat dan jasa anggota tentera dalam menjaga keamanan, kesejahteraan dan keselamatan negara.

Jen. Tengku Osman Tengku Muhamad Jewa merupakan Yang di-Pertua Persatuan Bekas Perajurit Malaysia menyatakan bahawa persatuannya akan melaksanakan lebih banyak lagi projek-projek yang akan memberi faedah kepada anggota tentera khususnya ahli-ahli persatuan.

Menurut beliau persatuannya mempunyai kira-kira 17, 000 orang ahli dan berharap bilangannya akan bertambah lagi pada masa akan datang. Dalam ucapannya itu beliau juga melahirkan rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang ramai dan orang perseorangan yang telah banyak membantu dalam menjayakan pembinaan Bangunan Wisma Pahlawan ini, terutama sekali kepada Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris yang telah bermurah hati memberikan tapak tanah bangunan tersebut.

Dengan terbinanya bangunan Wisma Pahlawan itu pada hari ini dalam tahun 1974 telah membuktikan kesungguhan Persatuan Bekas Perajurit dalam usaha membela nasib anggota-anggota tentera yang telah bersara.

No comments: